Sunday, 4 December 2011

Malam Semarak Seni & Budaya : Bazar Rakyat, Seksyen 28, Shah Alam

----------------------------------------------------------------------------------
  • PROGRAM : MALAM SEMARAK SENI DAN BUDAYA 2011, ANJURAN UMNO BAHAGIAN KOTA RAJA
  • MAJLIS : SAYEMBARA DEKLAMASI SAJAK
  • LOKASI : BAZAR RAKYAT, SEKSYEN 28, SHAH ALAM
  • TARIKH : 3hb DISEMBER 2011
  • NOTA : PEMENANG TEMPAT KETIGA
----------------------------------------------------------------------------------

Assalamualaikum, Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia...

 

Yehaaa... saya kembali lagi dengan sayembara deklamasi sajak. Alhamdulillah... kali ini saya berjaya membawa pulang hadiah di tempat yang ketiga. Ye... kali ini juga saya membawakan sajak yang sama iaitu Wasiat Rimba Merdeka yang mana merupakan sajak kegemaran saya. Memandangkan ini penyertaan yang seterusnya pada tahun ini, maka banyak persediaan telah dilakukan dengan rapi. Saya sememangnya berharap untuk menang pada kali ini. Nampaknya Allah memakbulkan hasrat saya meskipun hanya berjaya menggondol hadiah di tempat ketiga. Pada awalnya saya berhasrat untuk menukar sajak yang lain namun begitu saya padamkan sahaja hasrat tersebut kerana kesuntukan masa.

Meskipun persediaan telah dilakukan bagi sayembara ini, namun begitu sebenarnya saya agak sibuk. Pada sebelah siangnya, saya dan keluarga telah meluangkan masa bersama-sama dalam program Hari Keluarga Proton memandangkan abang saya yang sulung bekerja di Proton. Jadi, ketika sedang seronok bergembira di sebelah petangnya, saya sama sekali tidak memberikan sebarang fokus terhadap sayembara ini. Hanya pada sebelah petang sahaja, sekembalinya saya daripada program tersebut, saya dapat meluangkan masa berlatih buat seketika. Jadi, mungkin semuanya memberikan impak kepada kejayaan saya pada malam mungkin. Ini bermakna, kalau saya mempunyai masa yang lebih panjang, saya mampu memberikan yang lebih baik kepada pihak juri. Tetapi tidak mengapa kerana saya percaya peluang akan sentiasa ada pada masa hadapan.

Sayembara berjalan meriah semalam. Sebenarnya, selain daripada sayembara deklamasi sajak ini, terdapat juga pertandingan karaoke yang dianjurkan. Namun begitu, saya tidak dapat turut serta kerana ianya merupakan peringkat final. Oleh itu, suasana program sememangnya meriah dengan nyanyian para peserta serta persembahan yang telah direncanakan. Okey lah, sekali lagi saya sertakan sajak yang telah saya deklamasikan dan membawa tuah tempat ketiga untuk saya :)
Wasiat Rimba Merdeka
Hassan Jaidin
 
[Maka Raja Iskandar bertanya,
“Apa nama kayu ini, tempat kita bersandar?”]
 
mari kita elus makna akar dari sebatang pohon sebijaknya;
dengan akar yang menujah bumi
terfikir kita keakraban paling mutlak
tanpa akar bumi takkan kejap tanpa bumi akar takkan hidup
itulah akar asal bangsa
menunjang batang ketamadunan gemilang
meski dibadai petaka lapan penjuru angin
meski digegar bencana tujuh jurus benua
meski disimbah sengsara tujuh jurus samudera
takkan goyah batang ini,
takkan goyah!
 
ini akar asal bangsa mengaut gizi agung dari bumi
gizi membentuk budaya murni
gizi membentuk adat harmorni
gizi membentuk iman hakiki
pantaslah batang ketamadunan gemilang
gagah membenteng diri
 
pohon apakah ini sebenarnya? 
mari kita gapai makna pucuk dari sebatang pohon sebijaknya;
dengan pucuk yang melakar langit
terfikir kita keinginan paling waja
tanpa pucuk pohon mati segera tanpa pohon pucuk tiada
bertunas itulah pucuk aspirasi bangsa
menyegar batang ketamadunan gemilang
meski diamuk dermaga tujuh petala langit
meski digait durjana berjuta parasit rimba
meski dipulas seksa nasar tujuh turunan
takkan lemah batang ini,
takkan lemah!
 
ini pucuk aspirasi bangsa mengaut gizi agung dari jagat terbuka
gizi membentuk citra unggulan
gizi membentuk naungan ikhlas
gizi membentuk keindahan peribadi
sewajarnya batang ketamadunan gemilang mencuat mercu wijaya
 
pohon apakah ini sebenarnya?
mari kita analisa pohon ini sebagai kita negara bangsa sepadu;
pohon ini segak namanya ke seluruh rimba buana
pohon ini rimbun keprihatinannya menaungi sengsara mergasatua
pohon ini kukuh pendiriannya meski kerdil diukur mata
ini bukan pohon Melaka, bukan
ini pohon Malaysia!
menjadi daunnya sahaja teramat agung untungnya
bagaimana pula jika kita adalah buahnya?
 
[Maka Raja Iskandar berseru,
“ini kayu jangan tebangkan,
ini rimba jangan hapuskan,
semangat rimba harus ada pada anak cucu kita!”]
Koleksi Gambar Semasa Program
Kain rentang program.
Inilah dia barisan pemenang dan lelaki di sebelah saya itu ialah salah seorang daripada juri.
Juri-juri dan VVIP.
Inilah dia suasana ketika program berlangsung.
Tetamu yang terus memberikan sokongan kepada para peserta.
Posing saya setelah selesai mendeklamasikan sajak.

Sekian dan wassallam~

No comments:

Post a Comment