Wednesday, 2 January 2013

Selamat Datang 2013! :)

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera...


Alhamdulillah, akhirnya kita berganjak ke tahun baru lagi iaitu tahun 2013. Saya percaya ramai yang meraikan kedatangan tahun baru ini dengan penuh kegembiraan. Ianya memang sudah menjadi adat dalam meraikan tahun baru. Namun begitu, keadaannya sedikit berbeza dengan saya yang menyambut kedatangan tahun tanpa perasaan. Memang bunyinya sedikit kasar. Tetapi keadaan ini berlaku adalah disebabkan kesibukan diri saya sendiri sehinggakan kedatangan tahun baru langsung tidak saya rasai. Secara tidak langsung, keterujaan itu tidak muncul dan kesibukan saya itu hanya berakhir pada lewat petang 31hb Disember 2012. Oleh itu, saya tiada arah untuk meraikan kedatangan tahun baru ini melainkan hanya bersiar-siar di sekitar Shah Alam. Mujur juga saya tidak tersekat di dalam kesesakan lalu-lintas :)

Selepas berhempas-pulas mengharungi segala rintangan dan kesibukan, akhirnya saya berkesempatan juga merenung dan mengimbas kembali segala suka-duka 2012. Tanpa saya sedari, tahun 2012 juga menjadi tahun yang cukup bermakna apabila saya secara rasminya mendaftarkan perkhidmatan saya di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM). Memang saya masih buntu memikirkan nama yang telah saya daftarkan kerana pada awalnya, saya hanya menyediakan perkhidmatan secara sambilan dan lebih senang bergerak secara freelance. Sebenarnya di situlah wujudnya nama Freelancer itu dan disebabkan terlalu ramai yang menggunakan nama Diana, maka saya mengubahnya kepada Deana. Selain daripada itu pula, ramai rakan-rakan saya sebenarnya memanggil saya dengan nama DD, maka akhirnya wujudlah DDeana Freelancer yang sedikit unik sebenarnya. Saya harapkan nama ini akan menjadi sesuatu yang bermakna kepada saya serta rezeki akan terus melimpahi kehidupan saya sempena tahun baru 2013 ini. Apa pun, semuanya memerlukan usaha daripada saya sendiri. Insya Allah~

Selain daripada itu, kehidupan ini tidak akan berseri tanpa suka dan duka. Tahun 2012 juga mencatat sejarah tersendiri buat saya. Walau apa pun, saya tetap mengagapnya sebagai satu kenangan yang berharga yang terus mematangkan saya. Tahun 2012 juga menyaksikan jumlah pelanggan yang semakin mempercayai perkhidmatan saya terus meningkat serta semakin ramai rakan yang sudi berkongsi ilmu dan pengalaman. Saya amat-amat menghargainya meskipun ada waktunya saya tidak melayan kerana kesibukan dan kesuntukan masa. Memang selalunya status saya sentiasa online tetapi hakikatnya saya tidak berada di hadapan laptop dan kadangkala hanya menggunakan henfon semata-mata. Saya harapkan tidak ada yang berkecil seandainya saya tidak sempat membalas apa-apa pesanan.

Saya tidak memasang azam yang begitu spesifik setiap kali tahun baru. Cuma, saya berharap akan menjadi lebih baik dan akan terus memberikan yang terbaik dalam perkhidmatan saya. Saya juga berharap agar saya mampu menggembirakan orang lain dan semua orang juga akan sentiasa mendoakan kebahagiaan untuk diri saya. Terima kasih semua untuk satu tahun yang cukup indah buat saya. Semoga kedatangan tahun baru 2013 ini akan menjanjikan kita sesuatu yang lebih baik... Insya Allah!

Sekian dan wassallam~

No comments:

Post a Comment