Tuesday 22 January 2013

DJ - Perkahwinan : Rooftop Garden, 33rd Floor, Axis Residence Condo, Ampang

----------------------------------------------------------------------------------
  • TUGAS : DJ
  • MAJLIS : PERKAHWINAN
  • PASANGAN : RICHARD LOWE ♥ SITI NORAINI BINTI MOHD TAIB (ENCIK MOHD TAIB BIN ABDULLAH & PUAN SITI REFEAH BINTI MAATIN)
  • LOKASI : ROOFTOP GARDEN, 33rd FLOOR, AXIS RESIDENCE CONDO, AMPANG
  • TARIKH : 20hb JANUARI 2013
 ----------------------------------------------------------------------------------

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera...

Hari ini saya ingin berkongsi kan majlis perkahwinan yang saya kendalikan pada Ahad yang lepas. Sebenarnya saya langsung tidak mengenali pasangan mempelai ini dan tempahan dibuat tidaklah terlalu awal dan tidak pula terlalu lewat. Pengantin perempuan telah menghubungi saya dan selepas semua persetujuan dilakukan, saya pun terus melakukan persiapan yang diperlukan. Majlis ini pada awalnya dijangkakan hanya secara sederhana. Bilangan tetamu juga tidaklah terlalu ramai dan saya perlu mengendalikan majlis secara dua bahasa. Ini kerana, pengantin lelaki merupakan seorang mat salleh dari UK yang sememangnya tidak mempunyai pendedahan tentang adat-istiadat perkahwinan orang Melayu.

Saya bertolak ke lokasi majlis agak awal memandangkan saya tidak berapa pasti tentang lokasi sebenar majlis. Namun begitu, dugaan datang pada Ahad yang lalu apabila van team saya yang membawa PA sistem mengalami sedikit masalah di dalam hujan yang agak lebat. Alhamdulillah... semuanya dapat diselesaikan dan kami sampai di lokasi sekitar jam 7 malam. Selepas itu, kami sedikit kelam-kabut kerana tidak mengetahui cara sebenar membawa barang-barang naik ke tingkat 33 kerana hanya penghuni sahaja yang dibenarkan masuk ke bahagian parking. Akhirnya, setelah berurusan dengan pihak keselamatan di situ, kami berjaya membawa semua barang-barang keperluan dan mula melakukan pemasangan dan persiapan. Saya juga turut bersiap dan sekitar jam 8 malam, saya sudah memulakan tugasan meskipun tetamu ramai yang hadir sekitar jam 8:45 malam. Maka saya terus mempersilakan tetamu untuk menikmati hidangan-hidangan yang disediakan bersama suasana malam yang indah dengan berlatar-belakangkan bangunan KLCC. Antara hidangan-hidangannya adalah:
  • Nasi beriyani
  • Ayam black pepper masak ros merah
  • Daging masak hitam
  • Acar buah
  • Dalca tulang
  • Kek pisang
  • Air sirap laici

Tugasan saya agak mudah pada awal majlis kerana tiada sesi karaoke diadakan dan sekitar jam 9:15 malam, pasangan mempelai pun tiba. Rumah pengantin perempuan hanya di tingkat 32 dan ini memudahkan lagi untuk saya mendapat tahu pergerakan mempelai. Apabila mempelai sedang berada di dalam lif, saya terus memutarkan audio paluan kompang dan mempelai pun keluar dari lif dan berjalan ke arch. Mempelai berhenti seketika di arch sebelum berjalan masuk ke pelamin dengan diiringi oleh lagu 'A Thousand Years.' Setelah mempelai selesa di atas pelamin, saya terus membuka majlis dengan kata alu-aluan yang dilakukan dalam dua bahasa. Selepas itu, majlis dimulakan dengan bacaan doa oleh Saudara Mohd Salleh. Layan dulu gambar-gambar di bawah:

Pelamin indah yang disediakan untuk pasangan mempelai.
Meja makan beradab yang telah dihias indah.
Hidangan-hidangan utama untuk tetamu.
Hiddangan sampingan 
Ahli keluarga yang tidak putus-putus menerima kunjungan tetamu.
Bacaan doa setelah mempelai tiba, diarak dan duduk di pelamin.
Pasangan mempelai duduk di pelamin ketika bacaan doa sedang berlangsung.

Selesai sahaja bacaan doa, upacara menepung-tawar pun bermula. Saya terus menjemput nama-nama yang telah disenaraikan kepada saya. Selepas habis senarai tersebut, saya terus pula membuka peluang kepada sanak-saudara yang lain, juga jiran tetangga dan sahabat-handai yang ingin turut serta menepung-tawar pasangan mempelai. Antara yang mengambil kesempatan menepung-tawar pasangan mempelai adalah:
  1. Wakil keluarga sebelah pengantin lelaki - Encik Che Ismail bin Che Husin & Puan Wan Mahyuni binti Wan Othman
  2. Ayahanda & bonda pengantin perempuan - Encik Mohd Taib bin Abdullah & Puan Siti Refeah binti Maatin
  3. Bapa saudara pengantin perempuan - Tuan Haji Rahim & isteri
  4. Ibu saudara pengantin perempuan - Puan Zainab binti Maatin & suami
  5. Ibu saudara pengantin perempuan - Puan Bedah binti Maatin
  6. Ibu saudara pengantin perempuan - Puan Normah binti Maatin & suami
  7. Bapa saudara pengantin perempuan - Encik Minhat bin Maatin & isteri
  8. Bapa saudara pengantin perempuan - Encik Shamsudin bin Maatin & isteri
Ayahanda pengantin perempuan sedang menepung-tawar pasangan mempelai.
Bonda pengantin perempuan juga mengambil kesempatan menepung-tawar pasangan mempelai.

Majlis kemudiannya diteruskan lagi dengan upacara makan beradab oleh pasangan mempelai. Saya terus mempersilakan wakil kepada keluarga sebelah pengantin lelaki dan diikuti oleh ayahanda dan bonda pengantin perempuan untuk turut serta dalam upacara makan beradab tersebut. Selepas itu seperti biasa, majlis diteruskan lagi dengan upacara memotong kek dan diikuti dengan sesi fotografi. Suasana ketika itu memang sungguh ceria dengan ibu saudara-ibu saudara pengantin perempuan yang sungguh ramah. Majlis selesai sekitar jam 11 malam dan jutaan terima kasih diucapkan kepada pasangan mempelai yang memberi kepercayaan kepada saya mengendalikan majlis pada malam tersebut. Jika ada sebarang kekuangan dan kesilapan, saya memohon maaf bagi pihak saya dan rakan-rakan setugas yang lain. Walau apa pun, tahniah untuk semua!

Pasangan mempelai ketika upacara makan beradab.




Gambar kenangan bersama wakil keluarga sebelah pengantin lelaki.
Gambar kenangan bersama ayahanda dan bonda pengantin perempuan.
Gambar kenangan bersama sahabat-sahabat dari Celcom.
Kami juga tidak melepaskan peluang bergambar bersama pasangan mempelai.

Sekian dan wassallam~

No comments:

Post a Comment