Monday 21 May 2012

DJ - Perkahwinan : Kg. Bkt. Cherakah, Meru

----------------------------------------------------------------------------------
  • TUGAS : DJ
  • MAJLIS : PERKAHWINAN
  • PASANGAN : NOR SHAHADA BINTI MD. DZAHIR ♥ MOHD ZULKARNAIN BIN KHAIRI (ENCIK MD. DZAHIR BIN RAMLI & PUAN SALISAH BINTI LEMAN)
  • LOKASI : JALAN BAKTI, KG. BKT. CHERAKAH, MERU, KLANG
  • TARIKH : 20hb MEI 2012 (28 JAMADILAKHIR 1433H)
----------------------------------------------------------------------------------

Asssalamualaikum, Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia...

Hari ini, sekali lagi saya mengendalikan sebuah majlis perkahwinan. Mungkin juga ada yang tertanya-tanya tentang mengapa saya seringkali mengendalikan hanya majlis perkahwinan. Sememangnya saya terbuka mengendalikan apa jua majlis mengikut terma dan syarat yang telah ditetapkan, namun begitu sehingga kini masih belum ada peluang untuk saya mengendalikan majlis-majlis yang lebih besar. Namun begitu, saya sama sekali tidak menolak seandainya mempunyai tawaran yang menarik dalam mengendalikan sebarang majlis.

Berbalik kepada majlis pada hari ini, seperti kebiasaan, majlis bermula seawal 11 pagi. Tugasan saya pada hari ini sedikit mudah dan lebih fokus kepada sesi jamming karaoke secara suka-suka. Ini kerana, pasangan mempelai pada hari ini memilih untuk tidak bersanding serta tidak mengadakan upacara memotong kek. Pasangan mempelai tiba sekitar jam 12:30 tengah hari. Pasangan mempelai kemudian disandingkan seketika di bahagian hadapan rumah. Kemudian, upacara menabur gula-gula dijalankan dan kelihatan kanak-kanak berpusu-pusu mengambil gula-gula yang ditaburkan. Pada waktu ini jugalah, tetamu yang tiba dengan tidak putus-putus.

Selepas itu, majlis diteruskan lagi dengan upacara makan beradab. Majlis berjalan dengan meriahnya dengan pelbagai ragam mereka yang ingin menyumbangkan suara dalam sesi jamming karaoke suka-suka. Pasangan mempelai pula membuat kejutan istimewa dengan memberikan upacan dan hadiah istimewa buat bonda tercinta bersempena dengan sambutan Hari Ibu yang baru sahaja berlalu. Kesempatan itu juga diambil oleh pengantin lelaki untuk memberikan sedikit kejutan kepada isteri tersayang yang baru sahaja menyambutu ulangtahun kelahiran yang ke-26. Kemudian majlis diteruskan lagi kerana hari masih lagi awal pada ketika itu namun cuaca pula sedikit cemburu apabila hujan turun membasahi bumi. Meskipun sesi jamming karaoke suka-suka tergendala buat seketika, namun hiburan masih terus berjalan. Sememangnya hujan yang turun itu adalah satu rahmat kerana apabila hujan reda, saya berpeluang 'menangkap' pasangan mempelai untuk menyampaikan sebuah lagu. Nampaknya cara saya berkesan apabila setelah itu pengantin lelaki pula menyampaikan sebuah lagi lagu. Memang sporting gitu! Kemudian, majlis terus berjalan sehinggalah jam 4:30 petang di mana saya menamatkan tugasan saya. Meskipun majlis sedikit ringkas, tetapi tetap meriah bagi saya. Ribuan terima kasih diucapkan kepada pasangan mempelai dan keluarga.

Sedikit tambahan daripada saya... esok saya memulakan hari pertama saya bekerja secara sepenuh masa di Petaling Jaya. Terasa berdebar pula kerana ianya akan jadi pengalaman pertama buat saya setelah menamatkan pengajian. Saya juga sebenarnya telah meneruskan hasrat untuk menyambung pengajian ke peringkat Sarjana dan Insya' Allah... saya mengharapkan agar permohonan saya berjaya. Di samping itu pula, pada malam esok juga, saya akan memulakan tugasan sebagai DJ di Restaurant Monrods, Seksyen 20, Shah Alam. Jadi, jangan lepaskan peluang untuk ber-karaoke selain bersantai bersama keluarga :)


Tetamu sedang mengambil juadah yang disediakan.
Antara tetamu yang hadir.
Pasangan mempelai yang disandingkan seketika.
Upacara menabur gula-gula oleh pasangan mempelai.
Tetamu juga turut berebut-rebut mengutip gula-gula.
Kanak-kanak juga antara yang terselit mengutip gula-gula yang ditaburkan.
Suap-menyuap ketika upacara makan beradab.
Lapar pasangan mempelai kita :D
Tetamu yang sedang menjamu selera.
Ucapan istimewa oleh pengantin lelaki.
Cenderahati kepada bonda.
Ciuman istimewa oleh bonda :)
Antara otai yang menghiburkan tetamu.
Sanak-saudara yang melepaskan gian.
Salah seorang yang turut serta berkaraoke.
Seorang lagi wakil untuk berkaraoke.
Pasangan mempelai juga sporting untuk menyumbang suara.
Pengantin lelaki yang cukup sempoi!
Penyampaian cenderehati kepada pasangan mempelai.
Pasangan mempelai yang gembira menerima cenderahati.
Bergambar kenangan bersama pasangan mempelai.

Sekian dan wassallam~

Saturday 19 May 2012

Final Karaoke : Restoran Siti Aisyah

---------------------------------------------------------------------------------
  • PROGRAM : PERTANDINGAN AKHIR KARAOKE
  • ANJURAN : RESTORAN SITI AISYAH
  • LOKASI : KAWASAN PERINDUSTRIAN BUKIT RAJA, KLANG
  • TARIKH : 18hb MEI 2012
---------------------------------------------------------------------------------

Assalamualaikum, Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia...

Hye, apa khabar semua? Rasa macam lama pula tak keep-in-touch dan update berkembang terbaru. Saya sekadar ingin berkongsi bahawa semalam saya baru sahaja memenangi tempat ketiga bagi sebuah pertandingan karaoke. Meskipun bagi saya ianya diadakan secara kecil-kecilan, namun saya tetap menganggapnya sebagai satu platform untuk saya memperbaiki diri saya sendiri serta menimba pengalaman.

Pada awalnya, saya hampir menarik diri daripada menyertai pertandingan karaoke ini. Saya sebenarnya kurang berkeyakinan dan ketika saya melangkah ke sesi saringan juga, saya seolah-olah tidak cukup persediaan. Namun begitu, saya cuba juga lakukan yang terbaik dan Alhamdulillah... rezeki menyebelahi saya :)

Muka debar tunggu giliran :P
Antara geng saya malam semalam.
Bersama salah seorang geng saya dan juga di tengah-tengah adalah antara salah seorang finalist.
Ketika sesi penyampaian hadiah.
Ketika berdebar di atas pentas.
Saya menerima hadiah untuk pemenang tempat ketiga.
Hadiah-hadiah yang saya perolehi setelah memenangi tempat ketiga :)


Jom layan debaran saya ketika menyampaikan lagu pada malam semalam :D


Sekian dan wassallam~

Thursday 17 May 2012

Syukur :)

Assalamualaikum, Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia...

Apa khabar anda di luar sana? Harapnya sihat-sihat dan ceria-ceria selalu. Begitu juga saya dan entry kali ini saya nak berkongsi berita gembira serta beberapa perkembangan terkini untuk anda. Alhamdulillah... pada 16hb Mei 2012 hari tu, telah berlangsungnya isitiadat konvokesyen untuk saya. Ya, akhirnya setelah 3 tahun bertungkus-lumus dan mengharungi segala dugaan serta cabaran, saya berjaya menggenggam segulung Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Bahasa Inggeris untuk Komunikasi Profesional. Rasa bersyukur sangat-sangat kerana meskipun sibuk dengan pelbagai kerja-kerja sampingan, saya masih mampu menghabiskan pengajian saya dengan jayanya. Ianya merupakan hadiah istimewa untuk ibu dan bapa saya yang sentiasa inginkan saya mengorak ke hadapan dalam pelajaran. Bagi diri saya, meskipun kita dianugerahkan kelebihan, bakat, keistimewaan atau apa sekalipun dalam hidup ini, kelulusan atau pun kelayakan itu sememangnya sangat penting. Memang tidak dinafikan ada yang memandangkan sesuatu kelulusan tu hanya sehelai kertas biasa, tapi kepuasan dan makna di sebalik sehelai kertas tu pasti memberikan kelainan daripada orang lain di sekeliling kita. Tak kira apa jua kelulusan kita, sekurang-kurangnya kita sudah melangkah setapak ke hadapan. Lebih-lebih lagi dalam keadaan sekarang, di mana-mana sekalipun orang inginkan kelulusan atau pun kelayakan yang boleh memberikan jaminan. Jadi bagi saya, tidak salah kiranya menyambung pelajaran dalam apa jua dan ikutlah minat diri kita ke mana hala tuju pengajian kita. Jangan biarkan masa yang berlalu pergi tu terbiar begitu sahaja tanpa dimanfaatkan sebaik-baiknya. Tapi itu hanya pandangan peribadi saya dan terpulang kepada anda untuk menentukannya. Kita semua sama sahaja di sisi Allah dan yang membezakan kita hanyalah amalan. Cuma... bagi saya - menuntut ilmu biar sampai ke Negeri China :)

Sehubungan dengan tu jugalah, berkemungkinan saya akan menyambung pengajian saya ke peringkat Master atau pun Sarjana. Kenapa? Hehehehe... kerana bapa saya sendiri mempunyai Sarjana. Hahahaha... tapi sememangnya keputusan saya nanti tidak akan sama sekali dipengaruhi oleh bapa saya. Sebenarnya ada beberapa perkara yang ingin saya kejar dan penuhi demi diri saya sendiri. Kepuasan dalam menuntut ilmu itu yang saya idamkan dari dulu. Cuma buat masa sekarang, saya masih belum mampu untuk membuat keputusan. Maklumlah, perbelanjaannya nanti juga agak besar. Apa yang pasti, seandainya saya memilih untuk menyambung pengajian ke peringkat Sarjana, ianya hanya dilakukan secara separuh masa. Apa pun, saya harapkan doa kalian akan terus mengiringi saya.

Saya akan terus memadatkan jadual hujung minggu saya dengan kerja-kerja di bawah DDeana Freelancer ini. Oleh itu, untuk anda yang inginkan perkhidmatan saya, boleh terus hubungi saya. Insya' Allah blog ini akan terus dikemaskinikan dengan perkembangan terbaru dan Facebook saya juga akan terus memberikan perkembangan terkini. Selain daripada itu, saya juga masih dalam proses perbincangan dan seandainya perjanjian termetrai, berkemungkinan saya akan ada di Restaurant Monrods, Seksyen 20, Shah Alam pada setiap hari Isnin dan Ahad dari pukul 9 malam hingga 12 tengah malam untuk sesi jamming ber-karaoke di sana. Ini kerana, saya dan beberapa pihak sekarang ini masih dalam proses perbincangan dan persetujuan. Seandainya jadi, saya akan bertugas di sana sebagai DJ dan anda boleh datang untuk ber-karaoke! :) Ini adalah serba sedikit perkembangan terbaru saya selain beberapa perkara yang menjadi rutin harian saya. Walau apa pun, saya harapkan sokongan dan doa daripada anda agar kejayaan sentiasa menyinari hidup saya. Ayuh, untuk anda yang inginkan perkhidmatan saya, jangan tunggu-tunggu lagi untuk booking tarikh anda! Okey, di bawah ini saya sertakan satu gambar eksklusif saya bersama keluarga pada hari konvokesyen saya yang lalu. Jumpa lagi ya! :)

Hubungi saya:
  • Call/SMS : 019 664 2254 (Yana)
  • Email : ddeanafreelancer@gmail.com
  • Website : www.ddeanafreelancer.blogspot.com 
  • Facebook : www.facebook.com/ddeanafreelancer
  • Twittwer : www.twitter.com/ddeanafreelance

Perkhidmatan-Perkhidmatan terkini:
  • DJ / MC (Formal / Informal)
  • PA System
  • Karaoke
  • Band
  • Perunding Majlis
  • Jurucakap
  • Penyanyi / Penghibur
  • Penterjemah (BI - BM)
  • Alih Suara / Alih Bahasa
  • Pelakon (Drama Radio shj)
  • Pencerita (Drama Pendek shj)
 

Sekian dan wassallam~

Sunday 13 May 2012

Majlis Persandingan Ain : Tmn Sri Andalas

---------------------------------------------------------------------------------
  • TUGAS : DJ
  • MAJLIS : PERKAHWINAN  
  • PASANGAN : NOR RYIN BINTI ABDULLAH ♥ ABDUL HALIM BIN ABDUL KADIR (ENCIK ABDULLAH BIN SEKAK & PUAN LOSMIJAH BINTI JAJURI)
  • LOKASI : JALAN SRI SIANTAN, TAMAN SRI ANDALAS, KLANG
  • TARIKH : 13hb MEI 2012
    ---------------------------------------------------------------------------------

Assalamualaikum, Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia...


Memperkenalkan pasangan mempelai :)


Alhamdulillah... saya telah selamat pulang dan sampai ke rumah. Ini bermakna, tugasan saya di rumah sahabat saya telah pun selesai. Alhamdulillah... semuanya berjalan lancar tanpa kecacatan yang begitu ketara namun tidak pula boleh saya katakan sempurna kerana yang sempurna itu hanyalah daripada Allah bukannya daripada manusia. Seperti yang telah saya nyatakan di dalam entry terdahulu bahawa saya akan mengendalikan majlis persandingan kawan saya sendiri buat pertama kalinya, maka hari inilah majlis itu berlangsung. Segala persediaan telah pun dilakukan dan saya sendiri telah terlebih dahulu mengadakan perbincangan dengan kawan saya itu. Perjalanan majlis telah pun dimaklumkan terlebih awal kepada saya. Meskipun saya sudah biasa mengendalikan majlis persandingan, namun begitu saya lebih selesa mengambil pendekatan membuat perbincangan dengan pasangan mempelai sendiri kerana kadangkala pasti akan ada penambahan mahu pun pengurangan. Ini kerana, tidak semua orang mempunyai citarasa yang sama. Selain daripada itu, dengan mengadakan perbincangan terlebih awal, saya juga sudah dapat menggambarkan suasana majlis yang bakal berlangsung. Oleh itu untuk anda yang inginkan perkhidmatan saya, buatlah tempahan lebih awal agar perbincangan dapat dilakukan dan seterusnya melancarkan lagi perjalanan sesuatu majlis itu.

Majlis hari ini bermula jam 11 pagi. Namun begitu, saya sudah pun sampai seawal 9:15 pagi kerana big boss saya perlu bergegas ke lokasi yang seterusnya pula. Setting dilakukan sebaiknya dan seawal 10:45 pagi, saya sudah memulakan tugasan dengan memberikan ucapan alu-aluan khusu kepada para petugas dan juga para penanggah. Kemudian, saya tinggalkan seketika majlis dengan hiburan lagu-lagu mukaddimah yang dapat menaikkan semangat semua yang bertugas menjayakan majlis pada hari ini. Sebenarnya ia sekadar satu sesi warm-up agar saya dapat menyusaikan diri serta para petugas dan penanggah pula dapat memulakan tugasan dengan semangatnya sehinggalah selesainya majlis. Majlis berjalan dengan baik dan saya memutarkan pelbagai jenis lagu untuk tetamu yang hadir selain daripada mengalu-alukan jemputan yang tiba. Suasana nampak tenang namun menjadi meriah sekitar jam 12 tengah hari apabila tetamu yang hadir mulai ramai. Keadaan berterusan sehinggalah saya berhenti berehat seketika untuk menghormati waktu solat fardu Zohor sekitar jam 1:10 petang. Pada ketika itu, tetamu yang hadir tidak putus-putus dan makanan yang dihidangkan juga sentiasa perlu ditambah. Jom layan suasana majlis pada hari ini dan hidangan sememangnya menyelerakan yang mana terdiri daripada:
  • Nasi jagung & nasi putih
  • Ayam masak merah
  • Daging masak kari
  • Pajeri nenas
  • Acar rampai
  • Papedom
  • Kuaci & buah-buahan
  • Laksa & rojak buah
  • Air sirap & air kosong
  • Popcorn Special 

Tetamu yang semakin ramai
Tetamu yang memeriahkan majlis
Masa kemuncak ketika tetamu datang.
Sabar yerr ambil hidangan :)
Antara hidangan yang menyelerakan.


Saya kembali menyambung tugasan pada jam 1:45 petang dan dalam masa 15 minit sebelum ketibaan pasangan mempelai, tiba-tiba saya dihujani dengan permintaan jamming karaoke suka-suka apabila bertubi-tubi tetamu yang datang tampil untuk menyumbangkan suara. Saya sedaya upaya memenuhi permintaan mereka yang ingin menyumbangkan suara namun begitu ianya terpaksa dihentikan seketika apabila saya mendapat isyarat bahawa pasangan mempelai telah pun tiba. Sesi jamming karaoke suka-suka dihentikan seketika dan saya terus standby untuk upacara persandingan dan seterusnya. Pasangan mempelai disambut dengan paluan kompang yang saya gunakan melalui sistem saya. Kemudian, pasangan mempelai diringi oleh rombongan keluarga pengantin lelaki untuk disandingkan seketika di bawah khemah. Ketika pasangan mempelai berjalan untuk disandingkan seketika di bawah khemah, pasangan mempelai telah diiringi dengan bacaan selawat yang diketuai oleh Ustaz Haji Sallehuddin sehinggalah ke tempat yang telah disediakan. Sesampainya di situ majlis diteruskan dengan bacaan doa. Selesai sahaja persandingan seketika di bawah khemah itu, pasangan mempelai pun terus berarak naik ke pelaminan yang serba indah yang telah pun disediakan.

Apabila pasangan mempelai telah pun selesa berada di atas pelamin, majlis diteruskan dengan upacara menepung tawar pasangan mempelai. Maka dengan itu, saya terus mempersilakan nama-nama yang telah diberikan dengan mendahulu keluarga sebelah pengantin lelaki dan kemudiannya diikuti dengan keluarga sebelah pengantin perempuan. Seperti kebiasaannya, selesai sahaja majlis menepung tawar pasangan mempelai, pasangan mempelai pun bangun untuk upacara menabur gula-gula kepada kanak-kanak. Saya juga telah memaklumkan terlebih awal agar kanak-kanak yang ada untuk bersiap sedia di hadapan pelamin bagi upacara menabur gula-gula. Jom kita layan dulu gambar-gambar ini dan inilah dia nama-nama yang telah pun disebutkan tadi.
  • Keluarga Pengantin Lelaki
    i.    Umi – Hjh Sara binti Hj Sharaff
    ii.    Kakak – Pn. Khairul Husna & suami
    iii.    Kakak – Pn. Khairul Hasni & suami
    iv.    Kakak – Pn. Khairul Huda & suami
    v.    Kakak – Pn. Khairul Nisa & suami
    vi.    Kakak – Pn. Khairul Asmak & suami
    vii.    Adik – Amal Jamalullail
  • Keluarga Pengantin Perempuan
    i.    Ayahanda dan bonda – Hj Abdullah & Hjh Losmijah
    ii.    Abang – En. Mohd Ryne & isteri
    iii.    Abang – En. Mohd Ryfe & isteri
    iv.    Adik – En. Hafizi
    v.    Adik – Cik Nor Ryana
    vi.    Adik – Cik Nor Ryzah

Pasangan mempelai disandingkan seketika di bawah khemah/
Pasangan mempelai sedang disandingkan.
Close-up pasangan mempelai kita :)
Bergambar bersama tetamu VIP - YB Parlimen Dr. Mariah.
Upacara menepung tawar oleh bonda pengantin perempuan.
Bergaya sungguh ayahanda pengantin perempuan menepung tawar!~
Mohon restu daripada atok yerr :D
Upacara menabur gula-gula.
Ahaaa... kutip dik, jangan tak kutip.
Lagi-lagi kutip gula-gula dik... ehehehe~

Kemudian, majlis diteruskan lagi dengan upacara makan beradab. Pasangan mempelai terus dipersilakan untuk ke meja makan beradab juga bersama-sama dengan keluarga sebelah pengantin lelaki. Apabila semuanya sedia, upacara makan beradab pun bermula dan saya pula terus memutarkan lagu-lagu pengantin untuk menaikkan lagi mood atau pun suasana kemeriahan majlis itu sendiri serta lagu-lagu berentak joget. Saya tidak menggalakkan tetamu untuk berjamming karaoke pada ketika itu kerana dikhuatiri akan berlakunya pertembungan waktu dengan pasangan mempelai. Ini kerana, saya perlu mewar-warkan apa yang sedang berlaku jadi saya lengahkan seketika sesi jamming karaoke suka-suka tersebut. Selesai sahaja sesi makan beradab, pasangan mempelai terus dipersilakan untuk memotong kek yang telah pun tersedia. Kemudiannya majlis disudahi dengan upacara bergambar bersama pasangan mempelai.

Meskipun majlis kemuncak telah pun selesai iaitu upacara persandingan, menepung tawar, menabur gula-gula, makan beradab, memotong kek dan bergambar sudah pun selesai, namun hari masih lagi awal. Maka, sesi jamming karaoke suka-suka pun bermula dan kembali hangat. Bertubi-tubi permintaan tiba dan saya sememangnya seronok dan cuba memenuhi setiap permintaan. Namun begitu, saya perlu memberi keutamaan kepada otai-otai terlebih dahulu dan Alhamdulillah, semuanya berjalan dengan lancar. Kemudian, pasangan mempelai pun dengan sporting-nya telah menunjukkan skill di khemah Popcorn kerana sebenarnya Popcorn tersebut adalah idea dan sentuhan asal daripada pengantin perempuan tersebut. Kemudian, saya pun mempersilakan pasangan mempelai untuk tampil di kaunter karaoke. Sebenarnya ini adalah rancangan rahsia saya. Saya sedaya-upaya cuba memujuk pengantin perempuan untuk menyampaikan sebuah lagu secara berduet bersama suaminya namun saya tidak mahu mendesak. Maka, saya pun menggunakan strategi seterusnya agar suara pengantin perempuan dapat didengari. Apa lagi... saya pun terus menyoal-siasat pasangan mempelai tersebut tentang bagaimanakah masing-masing boleh terpikat, dari sudut manakah istimewanya pasangan masing-masing dan sebagainya. Sememangnya pasangan mempelai sangat sporting dan akhirnya pengantin lelaki pun menyampaikan sebuah lagu iaitu Mata Hati Jiwa dendangan asal daripada Awie. Saya rasakan lagu tersebut begitu istimewa dan ianya adalah pilihan si isteri! Memang sungguh si isteri mengetahui segalanya tentang si suami... saya sangat teruja!;P

Begitulah perjalanan majlis pada hari ini. Meskipun saya sangat kepenatan kerana kesibukan yang melanda sejak Jumaat yang lalu, namun saya memberikan segala komitmen saya pada majlis hari ini agar ianya berjalan lancar. Terima kasih diucapkan kepada kawan saya iaitu Nor Ryin atau pun Ain di atas kepercayaan memilih saya sebagai DJ bagi majlis persandingan pada hari ini. Seandainya ada kekurangan, kesilapan, kecacatan dan seandainya terguris perasaan dalam gurauan, tanpa saya sedari, berjuta kemaafan dipohon kepada pasangan mempelai juga kepada pihak Tuan rumah sendiri. Sesungguhnya, saya telah sedaya-upaya melakukan yang terbaik dan segala yang indah dan sempurna itu daripada Allah dan yang serba kekurangan itu datangnya daripada saya. Akhir kata, saya ucapkan Selamat Pengantin Baru kepada kawan saya sendiri iaitu Puan Nor Ryin binti Haji Abdullah dan juga suaminya yang tercinta iaitu Encik Abdul Halim bin Abdul Kadir dengan upacan semoga ikatan ini berkekalan sehingga ke akhir hayat hendaknya dan jangan lupa promosi pada jiran-jiran, kawan-kawan dan sesiapa jua tentang perkhidmatan kami. Terima kasih sekali lagi :)

Sempat plak nak jeling-jeling yer.
Haih, si suami sengih jerr tue :P
Control... jangan tak control~
Tetamu istimewa yang makan bersama pasangan mempelai.
Sila... sila... tambah, tambah.
Kek untuk pasangan mempelai.
Amboi, senyum lebar pengantin lelaki ye.
Eceh... punyalah romantik kan...
Mula-mula suap pakai garpu dulu ye.
Okey... suapan romantis pakai tangan pula.
Haa... nie dah kira tonyoh dah. Cer tengok tangan pengantin perempuan tue :P
Alalalalalala... kan dah comot. hahahahaha~
Alaa... si cilik pon nak mintak suap jugak yer...
Suasana dari bawah.
Ahli keluarga di bahagian bawah.
Inilah dia wakil dari UUM.
Uncle dari Kuala Kangsar... wah, jauh tue!
Alamak, orang belakang tabir pun nak join jugak - lepas gian beb!
Otai-otai lagi.
Anak muda berjiwa besar.
Otai yang menutup tirai karaoke. Cayalah!!!
Ini posing jerr... pengantin perempuan ngelat tak buat popcorn pon.
Nampak macam nyanyi, tapi pengantin perempuan tak nyanyi pon, tapi kena soal siasat. hahaha... padan muka! :P~
Amboi, dia punya jeling kan!?
Amboi, amboi, amboi!~
Happy yerr dapat hadiah :)
Ucapan penutup oleh Tuan rumah, Encik Abdullah bin Sekak.
Bergambar bersama ahli keluarga.
Bergambar bersama pasangan mempelai.
Gambar istimewa saya bersama pasangan mempelai - kena ada nie... gambar dengan member sendiri naik pelamin beb! :D thanx~

Sekian dan wassallam.